Semoga Beroleh Manfaat!!

Tuesday, June 29, 2010

Pesta Buku Selangor 2010

SHAH ALAM: Majlis perasmian Pesta Buku Negeri Selangor 2010 kelmarin melakar sejarahnya sendiri apabila mencatat rekod program membaca terbesar di kawasan luar bangunan dalam Malaysia Book of Records apabila seramai 14,718 peserta membaca beramai-ramai selama satu jam di Taman Tasik Shah Alam, di sini, semalam.


Pesta buku kali kelima anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu menyaksikan peserta membabitkan pelajar, organisasi kerajaan dan orang awam mula berhimpun di Taman Tasik Shah Alam sejak dari jam 7 pagi lagi.
Acara gilang-gemilang itu dirasmikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah, ibu bapa harus menggalakkan anak- anak mereka rajin membaca di rumah dan memastikan mereka menguasai pelbagai bahasa melalui pembacaan terutama bahasa Inggeris. “Selain daripada bahasa Inggeris, mengetahui banyak bahasa lain memberi kelebihan kepada kita kerana banyak ilmu pengetahuan yang boleh diperoleh.

“Namun, ibu bapa haruslah tidak mengabaikan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi kebangsaan yang mesti disanjung tinggi sebagai rakyat negara ini,” titah baginda ketika merasmikan Pesta Buku Negeri Selangor 2010 yang diadakan serentak sempena Hari Ilmu dan Gerakan Membaca Perdana Negeri, di sini, kelmarin.
Pesta Buku Negeri Selangor 2010 itu mensasarkan bilangan pengunjung seramai 450,000 orang pada tahun ini berbanding 390,000 pengunjung pada tahun lalu.


Bertemakan ‘Jom Membaca di Mana-mana’, pesta buku 11 hari yang bermula semalam hingga 5 Julai depan itu diadakan di Kompleks PKNS dan ia menyediakan 114 gerai yang menyajikan pelbagai bahan bacaan menarik dan terkini selain potongan harga istimewa kepada pengunjung.

Sumber: Harian Metro Online (28/6/2010)

No comments:

Post a Comment

Terima kasih..budi bahasa budaya kita:)